Sunday 10 January 2016

Kenapa anda mahu menjadi penulis?



Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera,

Ramai orang ingin menjadi penulis.  
Tanpa kita sedar, di Malaysia semakin ramai orang meminati bidang penulisan.  
Sebelum anda menghasilkan manuskript atau penulisan, perkara pertama yang anda perlu tahu ialah kenapa anda mahu menjadi penulis, adakah kerana anda mengejar populariti?
Adakah anda mahu menjadi kaya dengan penulisan?

Jika motivasi anda untuk menulis kerana anda mahu popular atau mahu menjadi kaya, anda sebenarnya sedang bermimpi.  Anda mungkin boleh mencapai kekayaan dan populariti hasil dari penulisan anda, tetapi ianya bukan dalam jangka waktu yang singkat.  Dan ianya juga bukan mudah.  Melainkan anda sanggup menjadi seperti Rani Kulup, atau membuat sesuatu yang menarik perhatian ramai seperti berbogel di tengah Dataran Merdeka, kemudian menghasilkan buku mengenainya, mungkin anda akan popular dengan cepat.

Penting bagi seorang penulis untuk tahu kenapa anda mahu menulis.  bagi saya saya menulis kerana saya ada pengalaman hidup yang saya mahu kongsikan dengan orang ramai.  Supaya jika ada orang lai yang senasib dengan saya menghadapi apa yang pernah saya alami, mereka tahu apa yang perlu mereka lakukan.  Atau dengan kata lain, saya tulis supaya penulisan saya dapat membantu memberi panduan kepada yang senasib dengan saya.

Selain dari itu, saya menulis kerana, saya mahu meninggalkan legasi kepada keluarga saya  Kita akan mati bila-bila, tanya diri sendiri apa yang akan kita tanggalkan untuk dunia dan keluarga kita.  Harta? Kekayaan? Populariti? Atau sesuatu yang bernilai seperti buku tulisan anda sendiri.

Tanya diri anda kenapa anda mahu menulis.  Tanya adakah anda sanggup berjuang bermati-matian untuk merealisasikan impian anda untuk menjadi penulis.

Menjadi penulis adalah senang.  Namun untuk mendisiplinkan diri bagi menghasilkan penulisan yang baik itu yang sukar.  Insya Allah kita akan berbincang dengan lebih lanjut tentang disipin sebagai penulis kemudian.

Antara satu sebab lain yang menjadikan saya menulis buku, artikel,blog post, email dan lain-lain ialah ekrana saya mahu sebarkan ilmu sebanyak-banyaknya dan kepada seramai-ramainya.  Kerana, ilmu yang kita sebarkan dan digunakan untuk jalan kebaikan adalah salah satu bahan yang akan menyelamatkan kita di akhirat.  Mana kita tahu, dalam banyak-banyak perkara yang kita lakukan ilmu itulah penyelamat kita nanti?

Apa kata, anda cuba menulis sesuatu sekarang.  Mulakan dengan menulis bab pendahuluan buku anda.  Beritahu pembaca kenapa anda mahu menulis.  InsyaAllah, silap-silap anda dah tak boleh berhenti menulis nanti.


Wassalam
The Ghost Writer

No comments:

Post a Comment